Index   Back Top Print

[ AR  - DE  - EN  - ES  - FR  - HR  - IT  - MS  - PL  - PT  - ZH_CN  - ZH_TW ]

PESAN BAPA SUCI FRANCISKUS 
SEMPENA HARI KOMUNIKASI SEDUNIA YANG KE-59

Kongsikan dengan lemah lembut harapan yang ada di dalam hatimu (1 Pet 3:15-16)

Saudara-saudari yang terkasih!

Pada zaman ini, kita berdepan dengan penyebaran maklumat palsu dan polarisasi, disebabkan adanya segelintir pihak berkuasa mengawal maklumat dan data dalam jumlah yang sangat besar, sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Saya ingin menyampaikan ucapan kepada anda semua kerana saya sedar pentingnya peranan anda sebagai wartawan dan komunikator, khususnya dalam konteks masa kini.

"Usaha anda dalam menjadikan komunikasi sebagai suatu tanggungjawab merupakan sesuatu yang amat penting dan sangat diperlukan, bukan sahaja pada peringkat individu, tetapi juga demi kesejahteraan sesama manusia."

Ketika merenung makna Tahun Jubli sebagai suatu anugerah rahmat dalam zaman yang sarat dengan kegelisahan—melalui mesej ini,saya ingin mengajak anda semua untuk menjadi “Komunikator Harapan”. Marilah kita memperbaharui komitmen terhadap tugas dan misi kita sebagai komunikator dengan berpandukan semangat Injil.

MELUCUTKAN SENJATA KOMUNIKASI

Pada masa kini, komunikasi kerap mewujudkan ketakutan dan keputusasaan, prasangka serta kebencian, fanatisme bahkan permusuhan—bukannya harapan. Dalam banyak keadaan, realiti telah disimpulkan secara keterlaluan hingga mencetuskan tindak balas emosi yang bersifat naluri. Kata-kata digunakan seperti senjata yang tajam; maklumat palsu atau yang telah diputarbelit secara halus telah menyampaikan mesej yang bersifat menghasut, memprovokasi, atau mendatangkan kemudaratan. Beberapa kali saya telah menekankan keperluan untuk “melucutkan senjata” dalam komunikasi, iaitu dengan membebaskannya dari unsur agresif. Usaha ini amat penting kerana kecenderungan menyimpulkan sebuah realiti menjadi sekadar slogan yang tidak pernah membawa manfaat yang sebenar. Daripada rancangan bual bicara di televisyen hinggalah kepada serangan lisan di media sosial, kita semua dapat menyaksikan bahawa komunikasi kita mempunyai risiko untuk dikuasai oleh paradigma persaingan, pertentangan, keinginan untuk menguasai dan memiliki, serta kecenderungan untuk memanipulasi pandangan awam.

Fenomena yang dikenali sebagai “penyebaran perhatian yang diprogramkan” sangat membimbangkan di mana sistem digital yang mengkategorikan individu menurut logik dan keutamaan pasaran, mengubah cara kita memandang realiti. Keadaan ini mengakibatkan pengasingan minat secara tidak disedari yang melemahkan asas kewujudan kita sebagai komuniti serta mengurangkan kemampuan kita untuk bersama-sama mengejar kebaikan bersama, selain menghalang dialog terbuka yang memupuk pemahaman antara satu sama lain. Menentukan seorang “musuh” untuk diserang sering kali seolah-olah menjadi suatu keperluan dalam usaha menegaskan identiti diri. Namun apabila orang lain menjadi “musuh” kita dan kita mengejek atau merendahkan mereka hingga mengabaikan keperibadian dan maruah mereka, kita sebenarnya turut kehilangan keupayaan untuk membangkitkan harapan. Don Tonino Bello mengatakan bahawa setiap konflik “bermula apabila wajah-wajah manusia mula hilang dan lenyap.” [1] Kita tidak seharusnya tunduk kepada corak pemikiran yang sedemikian.

Harapan, sebenarnya, bukanlah sesuatu yang mudah. Georges Bernanos pernah berkata bahawa, “hanya mereka yang mampu berharap menjadi berani untuk berputus asa terhadap ilusi dan pembohongan yang suatu ketika dahulu mereka jadikan sebagai tempat perlindungan dan yang secara palsu mereka anggap sebagai harapan... Harapan ialah satu risiko yang perlu diambil. Ia adalah risiko segala risiko.” [2] Harapan adalah satu kebajikan yang tersembunyi, penuh ketabahan dan kesabaran. Bagi orang Kristian, ia bukan satu pilihan, tetapi suatu syarat yang penting. Seperti yang dinyatakan oleh Paus Benediktus XVI dalam Ensiklik Spe Salvi, harapan bukanlah optimisme pasif tetapi, sebaliknya, satu kebajikan “pelaku” ( performative) yang mampu mengubah hidup kita: “Orang yang mempunyai harapan hidup dengan cara yang berbeza; orang yang berharap telah dianugerahkan kehidupan yang baru” (No. 2).

MEMBERI PENJELASAN TENTANG HARAPAN YANG ADA DALAM DIRI KITA

Dalam Surat Pertama Santo Petrus (3:15-16), kita menemui satu rumusan yang indah di mana harapan dikaitkan dengan kesaksian Kristian dan komunikasi: “Tetapi hendaklah kamu menguduskan Kristus sebagai Tuhan di dalam hatimu. Hendaklah kamu sentiasa bersedia memberi pertanggungjawaban kepada setiap orang yang meminta penjelasan tentang harapan yang ada dalam dirimu; namun lakukanlah dengan lemah lembut dan hormat.” Saya ingin menumpukan perhatian kepada tiga mesej penting yang boleh kita pelajari daripada kata-kata ini.

“Di dalam hatimu, kuduskanlah Kristus sebagai Tuhan.” Harapan orang Kristian mempunyai wajah – wajah Tuhan yang telah bangkit. Janji-Nya untuk sentiasa bersama kita melalui anugerah Roh Kudus memberi kita kekuatan untuk berharap sekalipun dalam keadaan yang paling putus harapan, dan untuk menyedari kebaikan yang tersembunyi yang tetap hadir meskipun segalanya kelihatan musnah.

Mesej kedua ialah kita harus sentiasa bersedia untuk memberikan penjelasan tentang harapan yang ada dalam diri kita. Yang menarik, Rasul Petrus menyatakan bahawa penjelasan itu diberikan “kepada sesiapa yang memintanya.” Orang Kristian bukan semata-mata orang yang “bercakap tentang” Tuhan, tetapi mereka yang menyampaikan keindahan kasih-Nya dan satu cara hidup yang baharu. Kasih yang mereka hayati menimbulkan pertanyaan dan menuntut jawapan: Mengapa kamu hidup seperti ini? Mengapa kamu berbeza?

Dalam kata-kata Santo Petrus, kita akhirnya menemui mesej ketiga: jawapan kita terhadap pertanyaan itu harus disampaikan “dengan lemah lembut dan hormat.” Komunikasi Kristian –malah saya ingin katakan, komunikasi secara umum – harus dipenuhi kelembutan dan kedekatan, seperti perbualan antara sahabat seperjalanan. Inilah pendekatan yang digunakan oleh komunikator terhebat sepanjang zaman, Yesus dari Nazaret, yang berjalan bersama dua murid dalam perjalanan ke Emaus, berbicara dengan mereka dan membuat hati mereka berkobar-kobar ketika Dia mentafsirkan peristiwa-peristiwa menurut cahaya Kitab Suci.

Saya mengimpikan satu bentuk komunikasi yang menjadikan kita rakan seperjalanan, yang berjalan bersama saudara dan saudari kita serta menggalakkan mereka untuk berharap dalam zaman yang penuh kegelisahan ini. Komunikasi yang mampu berbicara kepada hati, bukan membangkitkan reaksi defensif atau kemarahan, tetapi sikap keterbukaan dan persahabatan. Komunikasi yang mampu memberi tumpuan kepada keindahan dan harapan, walaupun dalam situasi yang kelihatan terdesak, serta mampu membangkitkan komitmen, empati dan keprihatinan terhadap sesama. Komunikasi yang boleh membantu kita “mengiktiraf martabat setiap insan dan bekerjasama menjaga rumah bersama kita” (Dilexit Nos, 217).

Saya mengimpikan satu komunikasi yang tidak menjual ilusi atau ketakutan, tetapi mampu memberikan alasan untuk berharap. Martin Luther King pernah berkata: “Jika saya dapat menolong seseorang dalam perjalanan ini, jika saya dapat menghiburkan seseorang dengan kata-kata atau nyanyian... maka hidup saya tidak akan sia-sia.” [3] Untuk melakukan ini, kita mesti terlebih dahulu disembuhkan daripada “penyakit” mementingkan diri dan keasyikan terhadap diri sendiri, serta mengelakkan untuk meninggikan suara hanya untuk didengari oleh orang lain. Seorang penyampai maklumat yang baik memastikan bahawa mereka yang mendengar, membaca atau menonton, boleh terlibat, boleh mendekati, boleh menyentuh bahagian terbaik dalam diri mereka serta mampu dengan sikap-sikap ini masuk ke dalam cerita yang disampaikan. Perkongsian seperti ini membantu kita menjadi “PENZIARAH HARAPAN”, yang merupakan tema untuk Tahun Jubli kali ini.

BERHARAP BERSAMA

Harapan sentiasa merupakan projek komuniti. Fikirkan sejenak betapa besarnya mesej yang dibawa oleh Tahun Rahmat ini. Kita semua – ya, semua! – dijemput untuk memulakan kembali, membiarkan Tuhan mengangkat kita, memeluk kita dan melimpahkan belas kasihan-Nya kepada kita. Dalam hal ini, aspek peribadi dan komuniti tidak dapat dipisahkan: kita melangkah bersama, berjalan bersama-sama dengan saudara dan saudari kita, dan kita melalui Pintu Suci juga bersama.

Jubli ini membawa banyak implikasi sosial. Kita boleh memikirkan, sebagai contoh, mesej belas kasihan dan harapannya kepada mereka yang berada di penjara, atau seruan kepada kedekatan dan kelembutan terhadap mereka yang menderita dan hidup di pinggir masyarakat. Jubli mengingatkan kita bahawa mereka yang membawa damai “akan dipanggil sebagai anak-anak Allah” (Mat 5:9), dan dengan itu ia membangkitkan harapan serta menunjukkan keperluan untuk komunikasi yang penuh perhatian, lembut dan reflektif, yang mampu menunjukkan jalan dialog. Atas sebab inilah, saya menggalakkan anda untuk menemui dan menyebarkan  kisah-kisah kebaikan yang tersembunyi dalam liputan berita – seperti para pencari emas yang tanpa jemu mengayak pasir demi mencari sebutir emas kecil. Adalah baik untuk mencari benih-benih harapan seperti ini dan menyebarkannya. Ia membantu dunia kita menjadi peka terhadap rintihan golongan miskin, kurang bersikap acuh tak acuh dan lebih terbuka secara peribadi. Semoga anda sentiasa menjumpai sinar-sinar kebaikan yang memberi inspirasi untuk harapan kita. Komunikasi seperti ini mampu membina persekutuan,menjadikan kita rasa kurang keseorangan, dan membantu kita menemui semula kepentingan berjalan bersama.

JANGAN LUPAKAN HATI ANDA

Saudara dan saudari sekalian, dalam menghadapi pencapaian teknologi yang begitu menakjubkan, saya mengajak anda untuk menjaga hati dan kehidupan dalaman kamu. Apakah maksudnya? Izinkan saya berkongsi beberapa renungan:

Bersikaplah lemah lembut dan jangan pernah melupakan wajah orang lain; berbicaralah kepada hati wanita dan lelaki yang kamu layani dalam tugas kamu sebagai komunikator.

Jangan biarkan reaksi naluri mengawal cara kamu berkomunikasi.

Sebarkan harapan – walaupun dalam kesukaran, walaupun ianya menyakitkan, walaupun seolah-olah tiada hasil.

Usahakanlah komunikasi yang boleh menyembuhkan luka kemanusiaan kita.

Berilah ruang kepada kepercayaan tulus dari hati, seperti bunga kecil yang rapuh tetapi kuat, yang tidak tunduk kepada badai kehidupan, sebaliknya mekar dan berkembang di tempat-tempat yang tidak disangka. Harapan ini hadir dalam doa ibu-ibu yang setiap hari berharap anak mereka pulang dari medan perang; dalam harapan para bapa yang berhijrah dengan risiko besar demi masa depan yang lebih baik; dalam harapan anak-anak yang tetap mampu bermain, ketawa dan percaya pada kehidupan walaupun berada di tengah runtuhan perang dan di lorong- lorong sempit setinggan yang miskin.

Jadilah saksi dan penyebar komunikasi yang tidak bersifat agresif; bantu menyebarkan sikap ambil peduli, membina jambatan, dan meruntuhkan tembok – baik yang kelihatan mahupun yang tersembunyi – pada zaman ini.

Ceritakanlah kisah-kisah yang dipenuhi harapan, ambillah peduli akan nasib kita bersama, dan berusahalah menulis sejarah masa depan kita bersama.

Semuanya ini, anda dan kita dapat lakukan bersama dengan bantuan rahmat Tuhan, serta dengan merayakan jubli bersama kita akan menerima kasih karunia Allah yang berlimpah. Inilah doa saya, dan melaluinya saya memberkati anda dan pekerjaan anda semua.

Rome, Saint John Lateran, 24 January 2025,
Memorial of Saint Francis de Sales

Francis

______________________________________

[1] “La pace come ricerca del volto”, in  Omelie e scritti quaresimali, Molfetta 1994, 317.

[2] La liberté, pour quoi faire?, Paris 1995.

[3] “The Drum Major Instinct”, Sermon (4 February 1968).

 

______________________________________

Translated into Bahasa Malaysia from the English version by the Episcopal Regional Commission for Social Communication, Catholic Bishops’ Conference of Malaysia - Singapore - Brunei.



Copyright © Dicastero per la Comunicazione - Libreria Editrice Vaticana